Roker sebak kenang tarikh perkahwinan anak perempuan
KEDATANGAN 2 Disember dinantikan dengan penuh debaran dan sebak kerana pada tarikh itu, anak sulungnya diserahkan tanggungjawabnya kepada orang lain.
Namun apabila tarikh yang dinanti-nantikan itu akhirnya tiba, roker terkenal, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, tetap menggagahkan diri menjalankan sendiri upacara pernikahan anaknya, Nabila Huda, 24 tahun, dengan lelaki pilihan, Zaidy Zailani, 27 tahun.
Majlis berlangsung pada Selasa lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Tarikh itu juga merupakan hari lahir Nabila.
Ketika ditemui para wartawan, Amy mengakui beliau amat terharu.
'Setiap kali mengenang tarikh perkahwinan Nabila, saya rasa sebak. Entahlah, mungkin perasaan semacam ini normal bagi kebanyakan bapa apabila anak mereka hendak mendirikan rumah tangga.
'Sedih mungkin kerana harus melepaskan dia dan merelakannya mengemudi kehidupannya sendiri. Selepas ini, Nabila menjadi milik suami sepenuhnya dan saya sudah lepas tanggungjawab,' ujar rocker tersebut.
Pada Ahad lalu, majlis khatam Al-Quran pengantin perempuan telah berlangsung di rumah Amy di Villa Damansara. Ibu kandungnya, Farida Fadzil, turut hadir. Air mata Nabila berguguran apabila membaca ayat-ayat suci dengan suara yang sayu dan menyentuh hati.
'Saya sebak kerana tidak menyangka majlis ini menjadi kenyataan meskipun perjalanan menuju ke peringkat ini disulami pelbagai dugaan tetapi alhamdulillah, akhirnya dapat juga diteruskan.
'Paling tidak tahan apabila melihat mummy (ibu tiri, Norish) menangis sehingga saya turut terbawa dek perasaan itu. Memang tidak dinafikan mummy yang bersusah payah melakukan persiapan ini dan turut dibantu papa,' kata Nabila.
Apabila Nabila membuat keputusan untuk berkahwin pada usia yang muda tatkala karier lakonannya sedang memuncak, ramai melihat keputusan itu sesuatu yang tidak sepatutnya tetapi gadis kecil molek ini mempunyai jawapannya sendiri.
'Kalau saya tidak bersedia, saya takkan bercakap soal kahwin dan hal ini tidak saya perkatakan hanya baru-baru ini, sebenarnya sudah lama. Dari kecil sampai sekarang, saya rasakan perjalanan hidup saya terlalu lama.
'Contohnya saya mula berlakon sewaktu 16 tahun dan sekarang saya sudah 24 tahun. Sepanjang tempoh saya menjadi pelakon, saya menjalani kehidupan sendirian.
'Justeru saya rasa inilah masa yang tepat. Sudah lama saya inginkan keluarga sendiri dan kalau hendak kata soal persediaan, saya memang sudah lama bersedia.
'Saya kepingin untuk memiliki keluarga besar dan mahu mempunyai anak seramai mana yang saya mampu. Ini kerana saya berasal daripada keluarga kecil sebab sebelah papa dan mama saya tidak ramai adik-beradik.
'Bapa saya sendiri misalnya cuma dua beradik, sepupu saya sendiri pun hanya beberapa orang,' katanya.
Nabila menerima mas kahwin RM80 ($33.50), sebentuk cincin dan wang hantaran berjumlah RM22,222 berserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki, antaranya minyak wangi, kasut, barangan penjagaan kulit, telekung dan Al-Quran.
Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang hantaran, antaranya kasut, kemeja, baju Melayu, sejadah, kek, Al-Quran dan songket.
'Saya amat bersyukur kerana hubungan yang kami jalin enam tahun ini berakhir dengan perkahwinan. Banyak dugaan yang telah kami tempuhi bersama, apatah lagi dia adalah cinta pertama saya. Insya-Allah, saya akan cuba jadi isteri terbaik buatnya,' kata Nabila.
0 comments:
Post a Comment